Untuk mengekalkan daya saing di
peringkat dunia, Malaysia perlu menerima perubahan dan menjadi sebuah negara
ekonomi yang dipacu oleh inovasi. Untuk mencapai matlamat ini, Kementerian
Pelajaran Malaysia (KPM) & Agensi Inovasi Malaysia (AIM) telah bersama-sama
memperkenalkan projek i-THINK.
Projek ini membantu pihak sekolah
dengan memupuk kemahiran berfikir; menyemai budaya pembelajaran sepanjang
hayat; mahir di dalam menyelesaikan masalah dan berupaya menghasilkan jalan
penyelesaian secara kreatif di kalangan murid sekolah. i-THINK melahirkan
inovator generasi masa depan Malaysia dengan kebolehan dan kemahiran berfikir
secara kritis serta berupaya untuk menyesuaikan diri dan menangani cabaran pada
masa akan datang.
Agensi Inovasi Malaysia (AIM)
merupakan badan berkanun yang ditubuhkan oleh Kerajaan Malaysia untuk memacu
dan memperkukuh kemajuan Malaysia dengan mempercepat budaya inovasi.
Penyediaan peluang sama rata
serta pendidikan berkualiti untuk semua merupakan fokus utama Kementerian
Pelajaran Malaysia. Matlamat pendidikan Malaysia telah dimanifestasikan dalam
Falsafah Pendidikan Kebangsaan dengan tujuan muktamad untuk mencapai wawasan negara
dalam menyediakan anak-anak Malaysia supaya menjadi individu yang
berpengetahuan dan berkemahiran ke arah menghadapi cabaran Abad ke-21.
Penekanan juga diberi kepada
sains, teknologi dan teknologi maklumat, selain daripada menyemai etika moral
dan etika kerja yang baik. Ini menjadi tumpuan utama untuk membangunkan
kurikulum bertaraf dunia yang akan membantu guru, ibu bapa dan murid agar
seiring dengan kadar perubahan ekonomi dan teknologi yang bergerak pantas.
Akses, ekuiti dan pendidikan
berkualiti akan memastikan masa depan yang progresif untuk Malaysia, dan turut
mengambil kira bidang-bidang yang sukar dicapai. Di bawah Rancangan Malaysia
Ke-10, inisiatif baru dipertingkat melalui kitaran hayat pembangunan pendidikan
yang menyeluruh, daripada pendidikan awal kanak-kanak, pendidikan asas dan
pendidikan tertiari sehingga ke pendidikan semasa bekerja. Bidang Keberhasilan
Utama Negara (NKRA) bagi pendidikan di bawah Program Transformasi Kerajaan
(GTP) telah menyediakan pelan hala tuju dengan objektif terperinci, hasil dan
tindakan untuk menangani cabaran tersebut dalam memastikan pendidikan
berkualiti dapat disediakan kepada semua.
0 ulasan:
Catat Ulasan